KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — TM berada di landasan yang betul untuk menawarkan perkhidmatan HSBB secara komersial di Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, Subang Jaya dan Shah Alam pada akhir suku pertama, 2010.
TM berkata 122 kediaman di Bangsar, Taman Tun Dr. Ismail, Subang Jaya dan Shah Alam kini terlibat di dalam percubaan perkhidmatan runcit HSBB, yang merupakan sebahagian daripada rancangan progresif Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk menawarkan perkhidmatan komersial jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di empat kawasan ini sebelum akhir suku pertama, 2010.
Menjelang akhir tahun, TM menjangka menyelesaikan 100 peratus kerja-kerja naik taraf fizikal akhir di keempat-empat ibu sawat, katanya dalam satu kenyataan.
Kerja-kerja akses gentian fizikal kini sedang berlangsung di 44 daripada 95 ibu sawat di seluruh negara yang dirancang untuk diliputi oleh perlaksanaan perkhidmatan awal HSBB.
Sehingga kini, TM telah memasang infrastruktur persediaaan HSBB untuk 143,000 premis dengan sasaran melengkapkan sejumlah 150,000 premis sebelum akhir 2009.
Percubaan perkhidmatan ini akan memberi peluang kepada TM untuk menguji sistem, proses, metodologi pemasangan gentian dan sebagainya dengan perancangan untuk menawarkan pengalaman perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatan apabila perkhidmatan komersial ditawarkan.
Para penguji beta tersebut sedang menikmati akses rangkaian berkelajuan 15Mbps yang disertakan dengan perkhidmatan tiga serangkai merangkumi Suara, Video dan Data yang berkaitan yang bakal digabungkan bagi melengkapi pakej runcit komersial HSBB yang akan diumumkan oleh TM tidak lama sebelum tarikh pelancarannya nanti, katanya.
TM kata menjelang akhir 2012 — berdasarkan kelengkapan fasa pertama projek nasional HSBB yang dipersetujui dengan Kerajaan – kira-kira 1.3 juta premis di seluruh negara akan mendapat akses ke perkhidmatan HSBB.
“Memandangkan bahawa pemasangan infrastuktur gentian sambungan akhir kami di Malaysia masih baru diperkenalkan dan keadaan sensitif semasa pemasangan gentian ke rumah (FTTH) yang memerlukan darjah ketepatan yang tinggi, masa pemasangan di premis dianggarkan memakan masa dari 6 hingga 8 jam kerana ia melibatkan kajian tapak, penggerudian, kerja-kerja jerejak, pemasangan paip, kerja-kerja elektrik dan akhirnya konfigurasi peralatan” kata ketua pegawai eksekutif TM Group Datuk Zamzamzairani Mohd Isa.
“Ini pengalaman biasa yang dilalui oleh semua syarikat telekomunikasi di seluruh dunia yang terlibat dalam perlaksanaan FTTH,” katanya.
Mengenai kadar bagi perkhidmatan tersebut, Zamzamzairani memberi jaminan kepada kesemua pelanggan awal yang berminat bahawa pakej runcit HSBB yang akan diperkenalkan tidak lama lagi adalah menarik dari segi nilai dan pada harga yang berpatutan.
“Ini kerana kami ingin menggalakkan seramai mungkin pelanggan awal di keempat-empat kawasan tersebut untuk melanggani perkhidmatan ini. Kami berharap pengalaman positif mereka akan menjadi pengesahan kepada seluruh negara apabila HSBB ditawarkan di kawasan mereka kelak,” katanya.
Baru-baru ini, TM telah selesai menjalankan dua kajian pengguna untuk menentukan komposisi dan harga pakej runcit HSBB yang terbaik yang akan merangkumi perkhidmatan asas dan tambah nilai.
Sehingga kini, perbelanjaan modal TM dari suku keempat 2008 sehingga 30 Oktober 2009 adalah RM1.4 bilion, merangkumi akses sambungan akhir, perlaksanaan IP teras dan penambahan kapasiti rangkaian antarabangsa. TM telah menerima pembayaran balik kerajaan untuk kerja-kerja ini, sejajar dengan komitmen yang dinyatakan di bawah perjanjian PPP.
HSBB menjanjikan kelajuan akses rangkaian yang lebih pantas dari kelajuan terpantas Jalur Lebar untuk Masyarakat Umum yang kini ditawarkan pada kelajuan sehingga 4Mbps oleh perkhidmatan sedia ada TM, Streamyx.
HSBB juga mensasarkan prestasi rangkaian yang menyeluruh dan unggul, termasuk lebar jalur antarabangsa – berdasarkan pelaburan TM dalam pelbagai sambungan dasar laut, termasuk rangkaian kabel Asia-America Gateway, yang baru diaktifkan pada 10 November 2009.
@ BERNAMA