KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — Bahang kejayaan pasukan bola sepak Sukan Sea negara memasuki perlawanan akhir untuk menentang Vietnam esok, turut terasa di Dewan Negara apabila majikan disaran agar membenarkan pekerja mereka pulang lebih awal bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan itu.
Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang berkata pertandingan akhir itu akan ditayangkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 6 petang.
“Mungkin majikan boleh benarkan pekerja masing-masing balik awal, ataupun boleh sediakan televisyen di pejabat supaya pekerja-pekerja dapat menonton,” katanya ketika menjawab soalan Senator Fatimah Hamat pada persidangan Dewan Negara di sini Rabu.
Razali berkata pasukan negara sudah pasti akan menghargai sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia sekaligus akan memberi kesan yang besar kepada pembangunan sukan negara.
“Ia tidak ada nilaian wang ringgit, tetapi sumbangan dari majikan dalam menyokong pembangunan bola sepak saya pasti pasukan negara akan menghargai perkara ini,” katanya.
Menjawab soalan Fatimah mengenai langkah yang dilakukan kementerian tersebut untuk menarik minat badan korporat (CSR) dan syarikat besar tempatan menunaikan tanggungjawab sosial korporat dalam bidang sukan, Razali berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula dengan pendekatan baru di bawah Insentif Penajaan CSR mulai suku pertama tahun depan.
Beliau berkata ia bagi menggantikan Program Rakan Sukan yang pernah diperkenalkan pada tahun 1994.
“Di bawah program ini, pihak penaja dan kerajaan akan berbincang bagi merumuskan satu formula baru yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak sebelum pihak penaja dipadankan dengan sukan atau persatuan sukan yang dipersetujui bersama oleh penaja dan persatuan sukan kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata dengan cara ini, pihak penaja akan mempunyai kepelbagaian dan kedudukan yang lebih strategik bagi merangka strategi pemasaran mereka dan dijangka program itu akan dapat menarik syarikat-syarikat baru untuk turut serta dalam penajaan acara sukan.
@ BERNAMA

{ 4 comments… read them below or add one }
harap-harap m’sia menang…
amin…
p/s:kalau menang,ade plak cuti umum lg syok huahuahua..
zella´s last blog ..tangan berpeluh.. jantung berdebar.. butakan mataku!
amiin… hihihi..
a’ah kan.. cun gak idea tuh… hahahaa…
cobaan..
Percubaan… 1.. 2.. 3..