P1 Lancar Perkhidmatan WiMAX Di Sabah Dan Sarawak Menjelang Julai

by Fizz on December 15, 2009

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) — Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) menjangka melancarkan perkhidmatan WiMAXnya di Sabah dan Sarawak seawal bulah Julai tahun depan.

Naib presiden (pejabat korporat) Ir Ismail Haron berkata syarikat telah mengenalpasti 48 tapak di Sabah untuk pelaksanaan pada tahun 2010 dan 58 pada tahun 2011, dan ini termasuklah Kota Kinabalu, Sandakan dan bahagian Tawau.

“Jika terdapatnya permintaan, kami akan mempertimbang memperluaskan perkhidmatan berkenaan ke kawasan luar bandar yang lain,” kata beliau dalam taklimat mengenai rancangan perlaksanaan WiMAX P1 di Sabah.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Dr Yee Moh Chai.

P1, anak syarikat Green Packet Bhd, ialah syarikat telekomunikasi WiMAX pertama dan terkemuka Malaysia dengan rangkaian WiMAX paling meluas di dalam negara.

Pada bulan November, ketua pegawai eksekutif P1, Michael Lai telah memakumkan yang syarikat akan memperuntukkan antara RM200 juta dan RM300 juta untuk perbelanjaan modal tahun depan yang termasuklah pengembangan ke Sabah dan Sarawak.

Ismail berkata sejak pelancaran P1 W1MAX pada Ogos tahun lepas, syarikat telah memperolehi lebih daripada 120,000 pelanggan dengan Selangor yang menguasai 41 peratus.

Daripada jumlah pelanggan, 33.15 peratus ialah pengguna jalur lebar baharu dan tidak pernah melanggan kepada sebarang perkhidmatan jalur lebar sebelum ini, kata beliau.

Ismail berkata dengan kemasukan Sabah dan Sarawak di dalam profil syarikat, ia akan membantu meningkatkan penguasaan pasaran WiMAXnya yang pada masa ini berjumlah 56 peratus.

Sementara itu, Dr Yee berkata dengan kekerapan penyedia perkhidmatan jalur lebar menyemak kembali kadar dan meluaskan liputan mereka, Sabah berharap mencapai sasaran penembusan isi rumahnya.

Sasaran penembusan jalur lebar isi rumah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjelang 2010 ialah 50 peratus untuk negara dan 30 peratus untuk Sabah.

@ BERNAMA

{ 1 comment… read it below or add one }

1 ariff December 15, 2009 at 6:32 pm

hm. bagus sangat ke p1 nih?
ariff´s last blog ..Free GSC Cinema Tickets My ComLuv Profile

Reply

Leave a Comment

CommentLuv Enabled

Previous post:

Next post: