P1, MIMOS Mula Ujian Langsung Jen-ii Di Chini Timur

by Fizz on December 9, 2009

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) bergabung dengan MIMOS Bhd untuk memulakan ujian langsung Jen-ii (Jendela Informasi Internet) di Chini Timur.

“Kerjasama ini membolehkan P1 mengembangkan capaian Pusat Jalur Lebar Komuniti (CBC) P1 yang konsepnya sudah terbukti, ke rumah-rumah terpilih di Chini Timur,” kata WiMax, syarikat telekomunikasi (telco) utama, menerusi satu kenyataan Rabu.

Pada masa ini, P1 merupakan satu-satunya telco Wimax yang diberi kebenaran oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia untuk mengembangkan WiMax ke seluruh negara.

Jen-ii ialah peranti dan perkaksan literasi maklumat berasaskan ikon berkos rendah yang dibangunkan khusus untuk menyemarakkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan masyarakat luar bandar serta warga tua bagi merapatkan jurang digital.

Perisian Jen-ii dibangunkan oleh penerima teknologi MIMOS, Nadi-Ayu Technologies.

P1 berkata warga tua Chini Timur dikenal pasti sebagai sebahagian daripada program itu memandangkan mereka merupakan antara golongan yang tidak mungkin meluangkan masa di CBC P1 selain tidak mesra teknologi.

“Dengan fungsi komputer yang mudah, warga tua boleh mengakses perisian di Internet hanya dengan tiga klik tetikus dari rumah sendiri.

“Mereka boleh membentuk atau menyertai masyarakat dalam talian bagi meningkatkan dan melengkapkan gaya hidup mereka seperti membuat perbandingan harga barangan, menyertai kelas dalam talian dan mengguna e-mel,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerjasama MIMOS-P1 itu mewujudkan peluang unik untuk mengkaji impak sambungan 4G WiMax dan peranti berasaskan ikon yang mesra pengguna untuk mempromosikan penggunaan jalur lebar dan meningkatkan penembusan jalur lebar di kalangan masyarakat luar bandar.

UKM Pararunding telah dilantik untuk menjalankan kajian impak program itu untuk P1 dan MIMOS sebagai respons terhadap keperluan antropologi siber di kalangan masyarakat, katanya.

– BERNAMA

Post comment as twitter logo facebook logo
Sort: Newest | Oldest

Previous post:

Next post:

JLBM 2009 #4 : Aku Dan 7 Alasanku
Jujurnya insan ini...
Lotus Racing Terus Mempamerkan Peningkatan Di Litar Sepang
[Gambar] MPV Achik Spin yang terlibat dalam kemalangan ngeri
Medan Perang Politik Malaysia Beralih Ke Internet