KUALA TERENGGANU, 25 Dis (Bernama) — Ariffin Ngah, 70, penulis novel terkenal Terengganu meninggal dunia di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal di sini Jumaat setelah mengidap pelbagai penyakit sejak lima tahun lepas.
Beliau meninggal kira-kira 1.15 petang di hadapan isterinya Zainab Muhamad, 67, anak-anak serta cucunya.
Allahyarham mempunyai 12 orang anak dan 50 orang cucu.
Zainab berkata, arwah suaminya menghidap pelbagai penyakit sejak lima tahun lalu antaranya kencing manis, jantung, buah pinggang, darah tinggi dan sering berulang-alik ke hospital untuk mendapat rawatan.
Afiffin banyak menghasilkan novel terutama novel kanak-kanak sejak ia menjadi guru dan beliau pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Sastera Darul Iman (2008).
Antara novel yang menarik hasil nukilan Ariffin ialah Anugerah Wahyu, Tangisan Pusaka Bangsaku dan Revolusi Kenyir.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tumbuh dekat sini selepas solat asar.
@ BERNAMA