Via Ferrata Gunung Kinabalu Tersenarai Dalam Rekod Dunia

by Fizz on December 16, 2009

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) — Mountain Torq Sdn Bhd mengumumkan ‘via ferrata’ yang dibinanya pada ketinggian 3,776 dari paras laut di Gunung Kinabalu telah disahkan Guinness World Records (GWR) sebagai yang tertinggi di dunia.

Salinan sijil pengesahan itu diserahkan secara rasmi kepada Timbalan Pengarah Taman Sabah Dr Jamili Nair pada satu majlis di sini hari ini yang turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Tengku Zainal Adlin.

Via ferrata (perkataan Itali bermaksud jalan besi), adalah laluan di kawasan pergunungan yang mengandungi tangga, alat pemegang dan kabel yang dipasang pada permukaan batu.

Terdapat lebih 300 via ferrata di seluruh dunia, kebanyakannya di Itali, Jerman dan Perancis.

“GWR mengambil masa enam bulan bagi menentukan via ferrata manakah yang paling tinggi dan kami dimaklumkan tentang keputusannya Julai lepas,” kata pengarah jualan dan pemasaran Mountain Torq, Quek I-Gek.

Via ferrata kedua tertingi di dunia pada ketinggian 3,343 meter, terdapat di permatang Marmolada West di Itali.

Pengasas dan pengarah eksekutif Mountain Torq, Wilfred Tok, berkata kemudahan itu mula beroperasi pada 15 Dis 2007 dan disahkan oleh Malaysia Book of Records sebagai via ferrata tertinggi di dunia dan majlis ini juga diadakan bagi meraikan ulang tahun kedua pencapaian itu.

“Sejak mula dibuka, kira-kira 5,000 orng telah menggunakan laluan itu, yang dibahagikan kepada laluan bagi pendaki baru dan pendaki bertaraf pertengahan,” katanya kepada pemberita.

Mereka yang menggunakan laluan bagi pendaki baru mengambil masa dua hingga tiga jam untuk melepasinya, manakala mereka yang menggunakan laluan bagi pendaki bertaraf pertengahan pula mengambil masa antara empat dan lima jam untuk melepasinya.

Quek berkata pendaki paling muda yang mengggunakan kemudahan itu ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Kuala Lumpur dan yang paling tua ialah lelaki berusia 69 tahun dari Britain.

@ BERNAMA

Post comment as twitter logo facebook logo
Sort: Newest | Oldest

Previous post:

Next post:

Datuk Shah Rukh Khan tak puasa penuh?
SIC Sasar Kehadiran 100,000 Penonton Pada Hari Akhir Grand Prix F1 Malaysia
Lelaki mati hidup semula
Penjamin diculik along selepas jiran gagal bayar hutang
Liga Bola Sepak Wanita Pada Tahun Depan