Gereja Di Miri Sasaran Terbaru – Hishammuddin

by Fizz on January 11, 2010

RAWANG, 10 Jan (Bernama) — Tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme setakat ini, bagaimanapun keadaan adalah terkawal, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata selain gereja di Miri, kes terbaru turut membabitkan gereja All Saints dan pos pengawal Sekolah Menengah Convent di Taiping, Perak.

“Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir dan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan laporan-laporan di internet serta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program motivasi pendidikan di bawah program Juara Rakyat di tapak ekspo Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat sini, Ahad.

Dalam insiden vandalisme di Gereja Good Sheperd dekat Lutong Bazaar, kira-kira 10km dari Miri, dua daripada tingkap kacanya pecah selepas dibaling bata.

Ditanya sama ada rentetan kejadian itu ada kaitan dengan pihak ketiga, Hishammuddin berkata memang ada pihak tertentu yang cuba melakukannya, tetapi “sama ada ia berkisar kepada masyarakat setempat, itu akan saya maklumkan kemudian.”

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima secara total laporan media asing dan internet mengenai insiden membakar gereja kerana berita yang dilaporkan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Hishammuddin berkata terdapat segelintir media asing yang memberi gambaran kurang tepat, malah menggembar-gemburkan kejadian itu seolah-olah keadaan di negara ini tidak terkawal.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan taklimat kepada para perwakilan kedutaan asing di negara ini bagi menerangkan kedudukan sebenar isu tersebut.

“Kita kena beri penjelasan kepada masyarakat luar negara kerana ada warga kita di luar sana yang mahu tahu perkembangan sebenar kerana isu ini sering digembar-gemburkan pihak-pihak tertentu, termasuklah apa yang diambil daripada internet.

“Saya bimbang gambaran yang diberikan itu tidak tepat. Jadi KDN telah memanggil wakil daripada kedutaan dan saya sendiri akan berjumpa dengan duta-duta untuk menerangkan apa yang sebenarnya berlaku.

Hishammuddin juga memberi ingatan kepada pihak yang cuba melibatkan Umno dan kerajaan dalam isu tersebut supaya menghentikan perbuatan itu, dan memikirkan sebaik-baiknya kerana mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

“Tuduhan mengatakan Umno sebenarnya di belakang semua kejadian ini merupakan satu fitnah yang amat dahsyat dan akhirnya orang akan tahu kerana kita telah mempunyai maklumat-maklumat tertentu berhubung siapa yang terlibat,” katanya.

@ BERNAMA

Post comment as twitter logo facebook logo
Sort: Newest | Oldest

ini semua dugaan dan cabaran menuju ke era modenisasi. cuma yang di kesalkan, semua beria ia bagi komen bagi bantuan...volunteer nak jaga gereja laaa.... bagi peruntukan laaa.....islam x betui laaa...x faham ilmu islam la dan macam-macam. TAPI...TAK SORANG PUN KISAH PASAI MAKHLUK YANG MENIMBULKAN ISU NI....

Previous post:

Next post:

Gula Oh! Gula
Kereta terjunam dari tingkat tiga di KB Mall, Kota Bharu
Dua rentung dalam kemalangan babitkan pacuan empat roda, pikap
Din Beramboi meninggal dunia
Gempa Bumi Gegar Pantai Timur Honshu