KUALA LUMPUR, 22 Mac (Benama) — Pelumba ujian pasukan F1 Malaysia, Lotus Racing, Fairuz Fauzy, bakal memikul tugas tambahan pada perlumbaan F1 Grand Prix Australia hujung minggu ini apabila beliau dilantik sebagai Duta Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata keputusan pelantikan itu bukan semata-mata Fairuz menjadi pelumba ketiga pasukan itu tetapi lebih kepada pencapaiannya dalam sukan perlumbaan, komitmen dan dedikasi beliau mengejar impian untuk beraksi dalam F1 sejak 20 tahun lalu.
“Saya bertuah dan bangga untuk mengumumkan bahawa Fairuz bersetuju menjadi duta kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari Isnin.
Menurutnya Fairuz bukan sahaja akan membantu SIC dalam mempromosikan F1 Grand Prix Petronas Malaysia 2010 tetapi juga pembangunan sukan permotoran dan kempen keselamatan jalan raya.
Dalam kenyataan sama, Fairuz berkata beliau berbesar hati dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepadanya bagi mewakili SIC di persada global serta mempromosikan sukan itu.
“Saya bertuah kerana dapat bersama F1 Lotus Racing dan ini menyediakan medan global khususnya menerusi F1 bagi mempromosikan Malaysia. Adalah satu penghormatan bagi diri saya untuk mewakili SIC di peringkat global,” katanya.
@ BERNAMA
: F1: Fairuz Dilantik Sebagai Duta SIC http://fizz.gapuranetwork.net/2010/03/f1-fairuz-dilantik-sebagai-duta-sic.html
: F1: Fairuz Dilantik Sebagai Duta SIC http://fizz.gapuranetwork.net/2010/03/f1-fairuz-dilantik-sebagai-duta-sic.html