H1N1: 157 Kes H1N1 Dilaporkan Di Pahang

KUANTAN, 12 April (Bernama) — Pahang mencatatkan 57 kes jangkitan virus Influenza A(H1N1) sejak awal tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun.

Katanya daripada jumlah itu, 10 kes dilaporkan di daerah Kuantan, Pekan (24), Rompin (8), Maran (1), Raub (8) dan Kuala Lipis (6).

Bagaimanapun katanya keadaan di negeri itu masih terkawal dan tiada seorang pun pesakit dilaporkan kritikal dan perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Ekoran itu, Kementerian Kesihatan memperuntukkan 24,000 suntikan vaksin kepada Pahang untuk mereka yang banyak terdedah kepada jangkitan virus ini seperti anggota bomba, polis, veterinar, imigresen dan orang awam,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya suntikan tersebut akan melindungi mereka daripada jangkitan virus pembunuh itu selama setahun dan orang ramai boleh mendapatkannya secara percuma di setiap hospital kerajaan.

Hoh berkata setakat ini, 4,866 orang telah diberikan suntikan vaksin tersebut.

Katanya sebanyak 17,872 poster dan 673 risalah berkaitan H1N1 turut diedarkan sejak tahun lepas bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai.

@ BERNAMA

Previous post:

Next post: