JPJ Terus Menyamar Penumpang Bas Ekspres Bagi Cegah Kemalangan

LUMUT, 16 Ogos (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menempatkan pegawai penguatkuasa menyamar sebagai penumpang bas ekspres dalam usaha memantau dan memastikan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan mengikut peraturan, kata kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata penyamaran itu akan dijalankan sepanjang Operasi Bersepadu Musim Perayaan Aidilfitri dari 14 Ogos hingga 14 Sept ini.

Katanya pegawai terlibat akan memerhati, mencatatkan kesalahan lalu lintas dan tata kelakuan pemandu bas ekspres serta mengambil tindakan segera.

Bercakap kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Pusat Khidmat Parlimen Lumut di sini, Kong berkata JPJ juga turut menjalankan penguatkuasaan lain termasuk pemeriksaan bas ekspres di 64 depoh bas yang dimiliki oleh syarikat bas-bas ekspres utama.

“Penggunaan kenderaan perkhidmatan awam pada 2011 dijangka meningkat pada 21 peratus berbanding 17 peratus pada tahun 2010…sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan JPJ adalah bagi memastikan bas dinaiki selamat dari segi teknikal serta pemanduan,” katanya.

Kong berkata operasi bersepadu tersebut mendapat kerjasama Polis, Agensi Anti Dadah Kerajaan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysian (MIROS) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menurutnya, operasi itu akan membabitkan pengawasan dan pemeriksaan di 32 buah terminal bas utama di seluruh negara yang melibatkan keselamatan brek, tayar, buku log dan ujian pengesanan dadah terhadap pemandu.

Dalam perkembangan lain, Kong berkata perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak akan terjejas sepanjang musim perayaan ini walaupun berlaku kemelut di antara Presiden Kesatuan Pekerja KTMB (KPPKTMB) Abdul Razak Md Hassan dan Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan.

“Masalah tersebut merupakan isu dalaman sahaja dan yakin ia dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kong berkata pengurusan KTMB bagaimanapun bersiap sedia dengan beberapa pelan bagi memastikan perkhidmatan tren akan terus beroperasi seperti biasa jika isu berkenaan berlarutan.

Abdul Razak dilaporkan berkata 3,600 anggota kesatuan akan bekerja mengikut peraturan sepanjang musim perayaan kali ini jika permintaan mereka yang mahukan perkhidmatan Aminuddin ditamatkan tidak dilayan.

Kira-kira 2,000 daripada 3,600 anggota KPPKTMB adalah pemandu lokomotif dan komuter dan jika mereka bekerja mengikut peraturan, ia akan menjejaskan perjalanan kira-kira 50,000 penumpang tren yang mahu pulang berhari raya nanti.

– BERNAMA

Trackbacks

  1. JPJ Terus Menyamar Penumpang Bas Ekspres Bagi Cegah Kemalangan http://t.co/ysAXbmo

Previous post:

Next post: