Larangan Guna Pembesar Suara Untuk Bacaan Quran Sebelum Subuh Di P.Pinang Bukan Fatwa

GEORGE TOWN, 15 Ogos (Bernama) — Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad Isnin berkata larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

Katanya tidak timbul isu kononnya larangan itu akan diperluaskan untuk melarang penggunaan pembesar suara untuk azan kerana larangan itu bukanlah satu fatwa.

“Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.

“Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Hassan berkata larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri.

Katanya banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.

Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004 tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ianya tidak memerlukan perkenan Seri Paduka bagianda.

“Bagaimanapun, perkara itu (larangan penggunaan pembesar suara untuk bacaan Quran) mungkin dibincangkan dalam mesyuarat majlis fatwa akan datang bagi membuat keputusan sama ada ianya dijadikan fatwa atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, dalam Islam sebenarnya terdapat dua azan subuh iaitu azan pertama ialah sebelum waktu subuh untuk mengejutkan orang ramai tetapi ianya tidak dipratikkan di negara ini bagi mengelak dari mengganggu orang ramai sebelum masuk waktu subuh.

“Islam mensyariatkan tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali untuk azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan terdapat banyak nas yang melarang kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain kerana walaupun bacaan Al Quran dan zikir amatlah baik, kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita,” katanya.

Hassan berkata Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah mengeluarkan larangan itu kepada Jabatan hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada 12 Julai lepas kerana pentadbiran kariah adalah di bawah bidang kuasa jabatan itu.

Katanya, beliau juga bersedia untuk bertemu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi berbincang menangani isu itu.

Trackbacks

  1. Larangan Guna Pembesar Suara Untuk Bacaan Quran Sebelum Subuh Di P.Pinang Bukan Fatwa http://t.co/dYhAzKH

Previous post:

Next post: